Persatuan tak boleh kawal jika tambang bas sekolah naik
Kenaikan tambang bas sekolah tahun depan tidak dapat dielak oleh mana-mana pihak, kata Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) Amali Munif Rahman.
Menurut Amali, sekiranya terdapat kenaikan harga, ia merupakah hasil persetujuan antara pengusaha bas dan ibu-bapa.
Malah, beliau juga menjelaskan ia bukan perkara baru memandangkan sejak tahun lalu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memberi kebenaran kepada pengusaha bas untuk menentukan harga caj tambang mereka.
"Tapi ada suara nak naikkan caj sebab kesan daripada (cukai barangan dan perkhidmatan) GST kerana kos semakin bertambah dan juga penurunan nilai ringgit sebab ada alat ganti (bas) yang diperolehi dari luar negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Ketika ditanya berapa jumlah tambang yang mungkin dinaikkan, Amali berkata perkara itu merupakan budi bicara antara pengusaha dan ibu-bapa.
Katanya lagi, beliau juga tidak dapat mengesahkan berapa ramai pengusaha bas yang ingin menaikkan caj tambahan memandangkan persatuannya memiliki kira-kira 10,000 ahli.
Bagaimanapun, beliau berharap agar tiada pengusaha bas yang menaikkan caj tambang bas sekolah bagi tahun depan memandangkan rakyat sekarang terbeban dengan pelbagai kos sara hidup yang tinggi.
"Ada yang kata nak naik, ada yang tak nak naik. Tapi kita cadangkan pada ahli kalau boleh tak payah naik lebih baik sebab pengguna dah terbeban dengan macam-macam kos. Tapi kalau mereka naikkan juga kita tak dapat halang," katanya lagi.
Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan bahawa tambang bas sekolah pada 2016 dijangka akan naik akibat GST kerana cukai tersebut menyebabkan kos operasi dan penyelenggaraan meningkat secara menyeluruh. Kerajaan memperkenalkan GST sejak April tahun lalu.

