Pemimpin muda perlu terajui Umno: Mahathir
Umno memerlukan pembaharuan dan "diterajui oleh pemimpin muda bagi menggantikan pemimpin tua" yang tidak lagi memainkan peranan aktif dalam parti.
"Jika Umno hendak dikekalkan, jika perjuangan Umno hendak diteruskan, pembaharuan parti hendaklah dibuat oleh generasi baru," kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dalam ucapannya di mesyuarat agung khas parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi tadi.
Beliau yang akan mencapai usia 75 tahun pada bulan depan berkata, pemimpin tua mestilah bersedia memberi tempat kepada generasi muda, sama ada sebagai ahli biasa dan pemimpin.
"Jika mereka tidak diterima awal-awal, maka bukan sahaja Umno dan perjuangannya akan berbeza dari sekarang, tetapi Umno mungkin akan hancur sama sekali," katanya lagi, yang mengambil alih kepemimpinan parti Melayu itu sejak 1981.
Dr Mahathir berkata pindaan perlembagaan parti berusia 54 tahun itu dibuat untuk menggalakkan kemasukan ahli dan pemimpin muda di peringkat lebih awal agar mereka dapat menghayati perjuangan parti itu.
Langkah ini juga boleh membendung percubaan golongan tertentu menguasai dan memperalatkan parti untuk kepentingan lain, tambahnya.
"Oleh kerana permohonan untuk menjadi ahli menghadapi banyak masalah dan menyukarkan orang Melayu ke dalam Umno, maka sistem baru perlu dibuat," katanya lagi.
"Tetapi ini tidak bermakna sesiapa sahaja boleh masuk untuk merosakkan Umno dari dalam seperti yang telah dicuba oleh pihak tertentu."
Dr Mahathir juga berkata penubuhan Puteri Umno bukan kerana wujud sekatan di kalangan generasi muda untuk menyertai Pergerakan Wanita.
Malah, katanya lagi, Puteri Umno ditubuhkan kerana terdapat wanita muda yang "tidak begitu senang" apabila bersama dengan ahli dan pemimpin yang sudah lama bergerak bersama Wanita.
"Mereka ini (wanita muda) tidak yakin mereka boleh menyuarakan pendapat dan mempengaruhi badan berkenaan," katanya.
Pindaan tidak jamin kejayaan
Dr Mahathir mempertahankan pindaan perlembagaan itu sebagai satu pendekatan yang perlu diambil untuk meneruskan perjuangan parti tetapi pindaan sahaja tidak akan menjamin kejayaan.
"Saya sedar terdapat banyak kelemahan dalam cadangan pindaan yang dibuat. Selain daripada kemungkinan pindaan ini tidak berjaya mencapai matlamatnya, ia boleh juga membawa kelemahan kepada parti dan masalah lain," tambahnya lagi.
Ucapan ini turut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen RTM.
Dr Mahathir menggesa seramai 2,023 perwakilan yang hadir hari ini agar memberikan peluang kepada pindaan ini untuk mencapai kejayaan.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menyentuh gejala rasuah yang melanda parti Melayu itu.
Beliau memberi amaran "sekiranya gejala ini tidak di bendung, ia akan menghancurkan masyarakat dan negara."
"Jika Umno terima rasuah sebagai amalan biasa, maka tentulah kita akan dapat Presiden dan Perdana Menteri yang membeli jawatan secara haram," kata Dr Mahathir.
"Saya telah pujuk, saya telah rayu, saya telah menangis dan saya telah berdoa. Sekarang kita cuba pula pinda perlembagan dan ramai daripada kita yang tidak senang dengan perubahan perlembagaan ini.," kata Dr Mahathir, yang terpaksa berhenti berucap seketika untuk menenangkan dirinya sendiri yang hampir menangis.
Perbahasan tentang pindaan itu bermula jam 10:30 pagi ini dan ia dikendalikan secara tertutup. Semua wartawan tidak dibenarkan masuk ke dewan perbahasan dan kemudahan televisyen di bilik akhbar di bangunan itu tidak digunakan untuk wakil media mengikuti debat.
Berita hari ini
[#1]Majoriti besar lulus semua usul[/#]
Pemimpin juga rasuah: Shahrir
Akhirnya Wanita setuju tubuhkan Puteri


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.