Dokumen mengenai Justo kini dengan Pejabat Peguam Negara
Pejabat Peguam Negara telah menerima dokumen mengenai bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo, termasuk maklumat yang beliau berikan kepada Editor, Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.
Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia juga merangkumi transkrip temu bual polis dengan Justo di Thailand.
"Dokumen itu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara Malaysia daripada Pejabat Peguam Negara Thailand dan kita menunggu dokumen itu disemak sebelum diserahkan pada kita dalam masa terdekat.
"Saya dimaklumkan dokumen itu baru saja diterima.. kalau tidak silap saya baru semalam," kata Khalid pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Justo seorang warganegara Switzerland diwawancara polis Malaysia selama 90 minit di Penjara Reman Bangkok pada 15 Disember.
Satu pasukan polis Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (siasatan/undang-undang) Amar Singh Ishar Singh melawat Justo untuk merakamkan kenyataannya.
"Mereka menyerahkan semua dokumen yang kita minta dan ia termasuklah rakaman temu bual kita dengan Justo yang dirakam polis Thai," katanya.
Justo kini dipenjara pihak berkuasa Thai selepas didapati bersalah mengugut bekas majikannya PetroSaudi menggunakan maklumat yang dicuri daripada syarikat itu.
Dia ditahan pada 22 Jun di Koh Samui dan dihukum penjara selama 3 tahun pada 17 Ogos selepas mengaku mencuri data tersebut termasuklah dokumen dan emel.

