IGP bidas Majlis Peguam berdiam diri kes 'pertahan diri'
Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membidas Majlis Peguam dan peguam hak asasi manusia kerana tidak menjelaskan kepada orang ramai bahawa bukan menjadi hak bagi membunuh mana-mana individu dalam mempertahankan diri.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kemarahan orang ramai terhadap kes seorang lelaki yang mengakibatkan kematian seorang perompak ketika mempertahankan diri tetapi didakwa membunuh.
"Seksyen 99 Kanun Keseksaan menggariskan dengan jelas had mempertahankan diri, bukan hanya untuk orang ramai, tetapi untuk kita (polis) juga.
"Ia tidak mutlak [...] ia tidak bermakna jika seseorang mahu merompak, kita boleh bunuh mereka.
"Di sinilah Majlis Peguam perlu memainkan peranan dalam mendidik orang ramai [...] kenapa berdiam diri?" kata Khalid pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Sebuah berita tersebar di media sosial menceritakan kisah seorang lelaki bernama Zulkifli yang didakwa menghadapi risiko hukuman gantung selepas menikam mati seorang perompak yang memecah masuk ke rumahnya, di Kerteh, Terengganu.
Zulkifli didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 iaitu menyebabkan cedera parah dengan senjata berbahaya atau dengan niat.

