Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin mendakwa bekas komando polis Sirul Azhar Umar mendapat tawaran untuk bercakap mengenai sesuatu supaya orang tertentu mendapat manfaat politik.

Tawaran itu dibuat melalui panggilan luar negara yang dibuat kepada Sirul di pusat tahanan Australia, katanya.

Selain itu, empat hingga enam percubaan juga telah dibuat oleh beberapa kumpulan individu yang melawat pusat tahanan, katanya.

"Saya tidak boleh dedahkan siapa mereka (individu-individu) itu buat masa ini," katanya pada sidang akhbar sambil menambah bahawa mengenali identiti mereka dan akan menanganinya mengikut saluran undang-undang pada masa yang sesuai .

Sirul Azhar dijatuhkan hukuman bunuh kerana bersalah membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dia kemudiannya melarikan diri ke Australia. Kerrajaan Malaysia sedang cuba untuk mengekstradisi bekas polis itu.

"Apa yang saya boleh katakan ada sekumpulan (beberapa individu) cuba untuk menghubunginya dengan beberapa janji memberi bantuan, jelas dengan harapan (mendapatkan) semacam manfaat politik, mungkin dari apa yang beliau (Sirul Azha) dijangka cakap atau mungkin apa yang mereka mahu dia berkata.

"Ia adalah tawaran dibuat kepadanya ... Saya boleh selesaikan masalah undang-undang awak, lebih baik awak pecat peguam awak.

"Itu adalah bacaan peribadi anak guam saya melalui perbualan (saya) dengan dia,” katanya sambil menambah bahawa beliau bertemu dengan Sirul Azhar minggu lalu.

Kamarul Hisham berkata Sirul Azhar selepas tempoh visa lawatan sosialnya di Australia tamat pada awal tahun ini telah memohon untuk mendapatkan visa perlindungan agar dapat menetap di negara itu.

Pegawai Imigresen Australia telah menemubual Sirul Azhar pada 25 November, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata penghalang terbesar untuk memperolehi visa perlindungan adalah bahawa Sirul Azhar didapati bersalah membunuh Altantuya oleh Mahkamah Persekutuan di Malaysia.