Pegawai tinggi SB iringi Suhakam jumpa 10 tahanan ISA
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini gagal mengadakan pertemuan dengan 10 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa kehadiran polis apabila permohonan itu ditolak dengan "alasan keselamatan."
Lawatan empat pesuruhjaya Suhakam, diketuai Tan Sri Anuar Zainal Abidin, turut dihadiri Timbalan Pengarah 1 Cawangan Khas (SB) Datuk Abdul Razak Sulaiman dan seorang lagi pegawai polis.
Selain Anuar, Suhakam diwakili oleh Prof Mohd Hamdan Adnan, Dr Mohammad Hirman Ritom Abdullah dan Mehrun Siraj.
Menurut kenyataan dua halaman Suhakam petang tadi, sepanjang pertemuan dengan seorang demi seorang tahanan itu, kedua-dua pegawai polis itu hadir.
Pertemuan itu selama tiga jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pagi tadi diadakan selepas lima daripada mereka ditahan selama 49 hari. Permohonan untuk perjumpaan itu dibuat oleh badan hak asasi itu dua hari selepas mereka ditahan pada 10 April lalu.
Dalam pertemuan itu, Suhakam menyiasat keadaan bilik tahanan, cara soal siasat polis, keperluan harian, makanan dan ubat, serta kemungkinan kejadian dera.
"Walau umumnya semua tahanan memberitahu layanan baik diberikan polis, Suhakam mendapati wujud layanan berbeza kepada tahanan-tahanan," kenyataan badan itu, yang dikeluarkan oleh Setiausahanya Kamaruddin Mohamed Baria, dipetik. Kamaruddin turut hadir dalam pertemuan itu.
Sepuluh yang ditahan itu adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, aktivis-aktivis pergerakan itu Dr Badrul Amin Baharom, N Gobalakrishnan, Lokman Noor Adam dan Abdul Ghani Haroon, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'Black 14' Saari Sungib, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais, pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin dan aktivis hak asasi Badaruddin Ismail.
Semua mereka ditahan antara 10 hingga 26 April lalu.
Suhakam berkata polis tidak menggunakan kekerasan ketika soal siasat kecuali seorang tahanan mengadu ditolak daripada kerusi dan permintaannya untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu tidak dipenuhi.
Ayam goreng KFC
Menurut badan itu, siasatan dijalankan antara jam 9 pagi hingga 5 petang dengan waktu rehat untuk makan tengahari dan sembahyang. "Seorang daripada tahanan mengadu siasatan dijalankan dalam suasana yang menakutkan, mengancam dan tidak pasti, sementara seorang yang lain memberitahu siasatan dijalankan dengan profesional dan intelektual."
"(Setakat pemerhatian Suhakam yang terhad), semua tahanan kelihatan sihat kecuali seorang yang menurun berat badan secara ketara," kenyataan itu dipetik.
Semua tahanan gembira menerima rawatan tetapi tidak semua berpuas hati dengan makanan.
"Jenis makanan yang disediakan juga berbeza, ada yang mendapat (ayam goreng) Kentucky Fried Chicken dan ada pula menerima nasi bungkus setiap hari," sebut kenyataan Suhakam.
Menurut badan itu lagi, kebanyakan tahanan memberitahu mereka dikurung di dua tempat berbeza dan tempat pertama kurang selesa berbanding tempat kedua. Tempoh ditahan di tempat pertama itu berbeza antara setiap tahanan antara 15 hingga 30 hari.
Keadaan bilik juga berbeza, ada bilik kecil bersaiz 8 kaki dan 9 kaki dengan pengaliran udara yang tidak baik, sementara terdapat juga bilik berhawa dingin yang dilengkapi televisyen dan peti ais.
"Seorang tahanan menggambarkan bilik kurungannya seumpama hotel tiga bintang," kata Suhakam.
Badan itu juga berkata semua tahanan diberikan selimut, dan sebilangannya mendapat tilam dan bantal. Semua mereka diberikan pakaian yang memadai walau seorang daripada 10 orang itu dibiarkan berseluar dalam sahaja selama lebih sehari, kenyataan itu dipetik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.