Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sembilan mengenal pasti kawasan perkelahan Jeram Toi di Ulu Klawang, Jelebu dan Jeram Tengkek, Jempol untuk menempatkan pasukan penyelamat kecemasannya.

Pengarah JPAM negeri Lt. Kol. (PA) Kamal Mokhtar berkata cadangan menempatkan pasukan penyelamat itu timbul memandangkan kawasan perkelahan dan rekreasi berkenaan berisiko berikutan peningkatan pengunjung terutama pada hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan.

"Dua kawasan ini adalah kawasan baharu di negeri ini yang dicadangkan untuk menempatkan pasukan penyelamat kecemasan JPAM. Perkara ini telah dibincangkan dengan kerajaan negeri dan kita sedang menunggu 'lampu hijau' dari Jabatan Perdana Menteri," katanya kepada Bernama di Seremban, Ahad.

Setakat ini, JPAM telah menempatkan pasukan penyelamat kecemasan di Gunung Datuk, Rembau dan Gunung Angsi, Kuala Pilah.

Kamal berkata antara peranan pasukan itu ialah memberikan perkhidmatan kecemasan kepada orang ramai serta pemulihan kepada mangsa.

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan, polis dan bomba jika berlaku kecemasan di kawasan bukit itu seperti pendaki tersesat, cedera dan sebagainya.

"Apabila pasukan itu ditempatkan di kawasan berkenaan, kita adalah pasukan pertama yang dapat memberi bantuan kepada mangsa.

"Kita menempatkan antara empat dan lapan anggota di kawasan itu. Waktu bertugas adalah pada cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan, mulai 8 pagi hingga 6 petang," katanya.

Selain itu, Kamal berkata pihaknya juga menempatkan pasukan itu di tiga menara tinjau di pantai Port Dickson bagi memantau orang ramai yang mandi di situ.

"Kita mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), polis dan bomba jika berlaku kecemasan seperti lemas dan sebagainya," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS