Murid Tahun Satu, Nur Batrisyia Jasmin Muhammad Danies yang menghidap ketumbuhan di bahagian rahang memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang di Baling, hari ini.

Ketika ditemui Bernama , Nur Batrisyia, 7, yang ditemani kedua ibu bapanya, Muhammad Danies Jamaludin, 42, dan Nur Azila Abd Wahab, 42, dilihat gembira dapat bersekolah bersama rakan-rakan baharu.

Nur Azila berkata beliau terpaksa menempah baju untuk anak keenam daripada tujuh beradik itu disebabkan saiz badan Nur Batrisyia terlalu kecil.

"Saya berharap beliau dapat menyesuaikan diri dengan kawan-kawan baharu di kelas dan mendapat pembelajaran yang selesa semasa di sekolah," katanya.

Nur Batrisyia menghidap penyakit 'cystic hygroma' iaitu sejenis penyakit ketumbuhan seperti gugusan anggur yang tumbuh di bawah rahangnya.

Menurut Nur Azila, anaknya akan mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 26 Feb.

Ia adalah hasil bantuan Anggota Parlimen Baling yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

- Bernama