Pemimpin Umno menegaskan tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan DAP walaupun mereka tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan negara seperti yang dinyatakan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Jelas Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Irmohizam Ibrahim, kenyataan Kit Siang hanya menjurus untuk memecahbelahkan kepimpinan parti milik Melayu itu dan negara, lapor Sinar Harian.

“Tiada pemimpin Umno yang akan bekerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan dan ia tidak akan terjadi.

“Jika ada orang Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan negara, mereka boleh terus nyatakan kepada pemimpin. Tidak ada isu berkaitan negara ini,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Semalam, Lim Kit Siang (Foto) berkata DAP dan Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan ahli dan kepimpinan Umno yang tidak berpuas hati bagi menyelamatkan negara dari masalah rasuah, ketidakadilan, sosioekonomi dan kegagalan pembinaan negara.

Kata Kit Siang, negara kini berada dalam keadaan tidak menentu akibat daripada pelbagai masalah yang masih belum selesai.

Sementara itu, Irmohizam berkata, kenyataan Kit Siang itu sebagai satu cara DAP mencapai agenda politik mereka.

“Beliau (Kit Siang) juga bebas menyatakan pandangan terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen. Tidak perlu mengeluarkan kenyataan mahu kerjasama dengan pemimpin Umno semata-mata ingin mencapai agenda politik sendiri.

“Ahli Umno juga tidak akan termakan kata-kata Kit Siang ini,” Irmohizam dilaporkan sebagai berkata.