'Sultan' Melaka Raja Noor Jan Shah Tuah akan menjelaskan isu pemberian 'pingat', yang menyebabkannya disiasat bawah Akta Hasutan 1948, pada Rabu ini.

Sidang media itu diadakan bagi menjawab pelbagai kontroversi melandanya, setelah perkara itu mencuri perhatian media, kata seorang penerima pingatnya Abdul Rani Kulup Abdullah.

“Banyak sangat media yang telefon tuanku. Tuanku takut kenyataannya bercanggah (dengan maksud).

“Jadi tuanku minta ayah untuk susun sidang media dalam masa terdekat,” katanya yang sering memperkenal diri sebagai "Ayah Arka".

Sidang media itu dijadual berlangsung di pejabat Noor Jan di Gombak.

Sebelum ini, Noor Jan disiasat atas dakwaan memalsukan surat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mendakwa dia diiktiraf sebagai sultan.

Isu Noor Jan kembali hangat setelah gambar dia mengadakan majlis mengurniakan darjah kebesaran kepada beberapa individu dan aktivis menjadi viral di dalam sosial media.

Kerajaan Melaka sejak awal lagi menafikan beliau pewaris takhta kesultanan negeri.

Noor Jan berasal dari Kampung Teluk Perang, Perak juga pernah ditahan ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar, Melaka dipercayai menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali "kesultanan Melayu Melaka".

Sementara itu, Abdul Rani Kulup mengatakan sehingga kini masih belum ada tindakan yang diambil ke atasnya berhubung pingat yang diterima minggu lalu.

“Belum ada apa-apa tindakan yang diambil dan ayah masih belum terima panggilan dari pihak polis.

“Seandainya pihak berkuasa ambil tindakan ke atas penerima anugerah yang diberi oleh ‘Sultan’ Melaka ni, kenapa perlu ambil tindakan sedangkan ayah dijemput jadi ayah ambillah.

Abdul Rani ketika ditanya adakah beliau percaya bahawa Noor Jan adalah ‘Sultan’ Melaka berkata:

“Betul (macam Sultan) kalau ikut mata kasarlah, dari segi ayah lihat dia punya salah-silah ayah tidak tahu ayah bukan pakar sejarah.

“Patutnya pihak berkuasa tanya Sultan Noor Jan itu, apa punya guna majlis raja-raja,” katanya.