MP: Apa guna pemberian khas lepas beban ditambah?
Pemberian khas RM500 kepada penjawat awam diibaratkan seperti cubaan memujuk anak kecil yang menangis kesakitan dengan gula-gula, kata anggota parlimen Pokok Sena.
Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan sama ada ia benar-benar membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup “ciptaan kerajaan Umno-BN” pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
“Persoalannya, boleh kah RM500 dan RM250 meringankan beban sara hidup rakyat yang kerajaan telah letakkan atas belakang rakyat?
“Umpama seorang yang membongkok berjalan memikul beban di bahunya seguni beras, lalu datang PM Najib membantunya dengan mengurangkan beban timbangan beras tersebut sebanyak sekilogram.
“Apakah dengan bantuan Najib mengurangkan sekilo daripada seguni beras mampu menjadikan orang tersebut berjalan tegak?” soal bekas naib presiden PAS itu.
Seramai 1.6 juta penjawat awam dijadual menerima pemberian khas 2015 sebanyak RM500 seorang daripada kerajaan hari ini.
Bantuan mula sekolah
Selain itu, sebanyak 1 juta pesara kerajaan juga akan menerima Pemberian Bayaran Khas sebanyak RM250 esok.
Najib berharap bantuan itu dapat membantu pelbagai pihak, khususnya yang mempunyai anak bersekolah ( gambar ).
Sesi baru sekolah dibuka semalam di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor manakala negeri-negeri lain hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, Mahfuz berkata beban kos sara hidup rakyat berpunca daripada urus tadbir penuh ketirisan dan rasuah.
Akibatnya, kata Mahfuz, kerajaan pemberian subsidi dimansuhkan serta rakyat dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan untuk menampung kekurangan perbelanjaan kerajaan.
“Dalam erti kata yang lain rakyat kena membayar dan menampung ketirisan, rasuah dan penyelewengan pimpinan kerajaan Umno-BN.

