Hubungan diplomatik Arab Saudi-Iran putus
GLOBAL l Susulan penunjuk perasaan memecah masuk kedutaan Arab Saudi di Teheran kerana membantah tindakan Riyadh yang melaksanakan hukuman mati ke atas seorang ulama Syiah, negara itu semalam memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Iran.
Channel News Asia melaporkan, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir mengumumkan perkara itu pada satu sidang akhbar di Riyadh.
Katanya, duta dan kakitangan diplomat Iran diberikan tempoh 48 jam untuk keluar dari negara itu.
Sementara itu, IRNA memetik Timbalan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian berkata keputusan Arab Saudi itu tidak akan mengalih perhatian dunia terhadap 'kesilapan besar' Riyadh.
Katanya, biarpun Riyadh mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik, Arab Saudi tidak dapat membuat dunia lupa tentang kesilapan besarnya melaksanakan hukuman mati ke atas seorang ulama.
Menurut Hossein Amir, Arab Saudi melakukan "kesilapan strategik dalam menerima pakai keputusan yang keras dan terburu-buru hingga menularnya ketidakstabilan dan meningkatnya keganasan di rantau ini."
Pelaksanaan hukuman mati ke atas Nimr al-Nimr mencetuskan kemarahan dan bantahan di negara majoriti Syiah itu sehingga menyebabkan serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi di Tehran dan konsulat di Mashhad.
Serangan itu menyebabkan hubungan kerajaan Arab Saudi dan Iran yang rapuh sejak sekian lama terus terjejas.
Kedua-dua negara sering membuat pendirian berbeza seperti peperangan di Syria, di mana Iran menyokong rejim dan konflik di Yaman memperlihatkan Arab Saudi mengetuai pakatan memerangi pemberontak Syiah.

