CEO mohon injunksi dari siasatan Institut Baitulmal
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Profesional Baitulmal Sdn Bhd memohon perintah injunksi terhadap badan itu daripada menjalankan siasatan dalaman terhadapnya.
Dr Syed Omar Syed Agil, 55, dilantik sebagai CEO pada September 2014 dan sejurus selepas itu mendakwa ada perkara yang tidak kena sedang berlaku.
Susulan itu, beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2015 dan laporan polis pada September tahun yang sama.
Laporan itu dibuat supaya siasatan dapat dibuat terhadap Institut Profesional Baitulmal.
Bagaimanapun, laporan itu membuatkannya tertakluk kepada siasatan dalaman dan langkah penggantungan kerja.
Susulan itu, Syed Omar memfailkan saman bulan lalu dan permohonan injunksi.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 12 Februari untuk pendengaran permohonan itu dan meritnya di hadapan hakim John Louis o Hara.
Syed Omar diwakili oleh Amer Hamzah Arshad.

