Sempena hari lahir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berikrar akan bercakap dan bertindak dengan lebih matang pada tahun ini.

Beliau, yang berusia 63 tahun hari ini, bagaimanapun mengakui tidak dapat menggembirakan semua pihak sepanjang perkhidmatannya.

“Saya merasakan keinsafan kerana saya sentiasa bertambah usia. Saya mengharapkan tiap-tiap patah perkataan dan tindakan (saya) mesti berlandaskan kepada kematangan.

“Walaupun saya tahu saya tidak dapat memuaskan hati semua orang tetapi saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk semua kumpulan dan golongan masyarakat di negara kita,” katanya kepada media pada Majlis Apresiasi Tokoh Sarjana: Penerima Anugerah Buku Negara 2015 di Kuala Lumpur, hari ini sebelum berlepas ke Sarawak.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai isu-isu lain.

Penganjur majlis, Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) juga mengadakan acara memotong kek. Hadir sama adalah isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, anaknya Nurul Hidayah dan cucu mereka.

Zahid kemudiannya mengedarkan kek dan pulut kuning kepada semua tetamu yang hadir.

[Baca berita penuh]