Zahid cabar karyawan menangi Hadiah Nobel
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar rakyat terutama para sarjana, ahli akademik dan karyawan supaya menghasilkan karya bermutu tinggi yang mampu menjadi 'siulan' masyarakat antarabangsa malah mampu memenangi hadiah Nobel.
Katanya, karyawan dalam genre fiksyen misalnya, juga perlu mengorak langkah dan bekerjasama bersama penerbit filem bagi menghasilkan filem dan telenovela bertaraf antarabangsa.
Beliau menetapkan tahun 2057 untuk mencapai matlamat itu ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-100.
"Saya mahu cabar diri saya dan penulis-penulis fiksyen untuk mengambil langkah lebih besar - letakkan diri anda di peringkat antarabangsa dengan kerjasama pengeluar filem.
"Kami mahu penulis sama ada mereka yang menulis fiksyen atau mereka yang menghasilkan buku berdasarkan kajian ilmiah untuk berjaya ke peringkat antarabangsa.
“Pada 2057, kita mahu (lihat) pemenang Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan dari kalangan rakyat Malaysia" katanya ketika berucap pada majlis Apresiasi Tokoh Sarjana: Penerima Anugerah Buku Negara 2015 di Kuala Lumpur, hari ini.
Sehubungan itu, Zahid yang juga adalah Menteri Dalam Negeri berjanji tidak akan meminggirkan perkembangan kesusasteraan.
Beliau berkata karyawan negara masih melihat pasaran buku terlalu kecil tanpa menjelajah ke dalam bentuk lain seperti diadaptasikan ke filem yang mampu menarik perhatian orang ramai.
Sebagai contoh, kata Zahid, novel seperti Harry Potter yang diangkat ke layar perak berjaya mencatat kutipan "box office" sekali gus mencapai audiens yang lebih besar.
"Kita masih berada di bawah kepompong... mungkin kerana berasa terlalu kecil untuk menterjemah karya ke peringkat antarabangsa dan dijadikan bahan-bahan filem untuk tontonan masyarakat global," katanya.
Justeru, beliau turut meminta penggiat filem negara menghasilkan filem-filem karya penulis di negara ini.
Pada majlis itu, Zahid turut melancarkan Anugerah Telenovela yang akan menjadi kategori terbaru pada Anugerah Buku Negara 2016.
Anugerah Buku Negara bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan tenaga di sebalik tabir industri perbukuan dan memberi suntikan semangat untuk menggalakkan penghasilan karya berkualiti.
Majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis dan Pengerusi YPBN Hasan Hamzah.

