GLOBAL l Selepas Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran - Bahrain dan Sudan pula menyatakan kedua-dua negara itu juga berbuat demikian dan menggesa diplomat-diplomat Iran untuk meninggalkan negara masing-masing dalam tempoh 48 jam.

Menurut siaran televisyen al-Jazeera , Menteri Hal Hubungan Media Bahrain, Isa al-Hamadi membuat pengumuman tersebut hari ini ketika ketegangan hubungan antara Arab Saudi dan Iran memuncak selepas serangan kumpulan perusuh ke atas kedutaan Arab Saudi di Teheran.

Bahrain sebelum ini sering menuduh Iran mendalangi protes-protes yang dianjurkan oleh penduduk fahaman Syiah di negara itu.

Kementerian Luar Sudan juga mengumumkan bahawa kerajaan negara itu turut memutuskan semua hubungan diplomatik dengan Iran serta-merta.

“Keputusan itu dibuat berikutan serangan teruk ke atas kedutaan Arab Saudi di Teheran dan konsulat negara itu di Mashhad yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa,’’ kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Emeriyah Arab Bersatu (UAE) juga dilaporkan menurunkan status hubungan negara itu dengan Iran.

Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Iran sebagai tindak balas serangan yang dilakukan terhadap kedutaan negara itu di Tehran berikutan hukuman gantung yang dikenakan kepada pemimpin Syiah.

Serangan itu dipercayai kerana rakyat Iran berang dengan pelaksanaan hukuman mati ke atas ulama Syiah, Nimr al-Nimr.

- AFP/Agensi