Perjanjian rasmi Pakatan Harapan Sabtu ini
Lebih tiga bulan selepas kelahiran Pakatan Harapan, ketiga-tiga parti bergabung dalamnya akan menandatangani perjanjian kerjasama rasmi pada 9 Januari ini.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perjanjian akan menumpukan kepada tujuh prasyarat kerjasama gabungan baru pembangkang itu.
Ia, kata Azizah, melibatkan penyelesaian pertikaian, pembahagian kerusi dan kerjasama di negeri-negeri Pakatan Harapan.
Beliau mengumumkan sebuah lagi mesyuarat kepimpinan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan diadakan pada malam 9 Januari ini di Shah Alam.
Azizah berkata mesyuarat ini dijangka melibatkan acara tandatangan perjanjian untuk mengikat ketiga-tiga parti sebagai sebuah gabungan politik yang mapan.
Beliau berkata demikian di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur hari ini.

