Syed Ali: PAS oportunis halang perpaduan umat Islam
Seorang pemimpin bahagian Umno mengecam apa yang didakwanya sebagai satu tindakan terburu-buru daripada Majlis Syura Ulama PAS yang menolak kerjasama lebih rapat dengan kerajaan dan memberi amaran bahawa ia merugikan ke arah penyatuan umat Islam di negara ini.
Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee Syed Ali berkata demikian ketika mengulas pengumuman majlis syura ulama hari ini bahawa PAS tidak akan menyertai Umno mahupun menjadi sebahagian daripada pemerintah BN.
"Hari ini, sudah jelas kepada umat Melayu di negara ini bahawa PAS yang enggan bekerjasama dengan Umno, mereka terlalu oportunis dan hanya mementingkan agenda politik," katanya yang dipetik melalui blog.
Beliau berkata adalah adalah amat mendukacitakan kerana PAS mengambil sikap menolak salam perpaduan yang dirintis oleh Umno menerusi keyataan terbuka Datuk Seri Najib Razak semasa ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Ini, kata Syed Ali, bertentangan dan tidak mencerminkan prinsip asas parti itu yang kononnya berjuang atas landasan Islam.
Beliau berharap PAS akan menimbang semula keputusannya kerana Umno ikhlas mahu kerjasama mereka untuk memastikan perpaduan di kalangan orang Melayu-Islam.
Beliau juga berkata Majlis Syura Ulama sepatutnya mengadakan pertemuan atau perbincangan tidak rasmi dengan Umno sebelum membuat sebarang keputusan yang dilihat tidak menguntungkan kepada perkembangan politik orang Melayu.
Syed Ali berkata walaupun beliau menghormati pendirian PAS, Umno bukan sebuah parti picisan yang perlu merayu untuk menjalin kerjasama dengan parti berkenaan.
Katanya, Umno mewakili majoriti orang Melayu dan berada pada kedudukan yang cukup baik untuk membentuk sebuah kerajaan yang dinamik melalui BN.
"Jelas mereka tidak mempunyai iltizam untuk berusaha membawa penyatuan umat berasaskan kepentingan masa depan orang Melayu," katanya.

