Penduduk Broga masih samar mengenai projek insinerator
Perjumpaan dua jam antara penduduk Broga dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak banyak membantu menyelesaikan kesangsian mereka berhubung projek insinerator yang akan dibina berdekatan kampung mereka di Semenyih.
Perjumpaan dua jam antara penduduk Broga dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak banyak membantu menyelesaikan kesangsian mereka berhubung projek insinerator yang akan dibina berdekatan kampung mereka di Semenyih.
Dengan diketuai oleh pengerusi jawatankuasa kecil Broga, Dr Zulkefly Mohamad Omar, sekumpulan penduduk mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Lokman Hakim Mohd Jasan pada 24 Disember lalu.
Zulkefly berkata, penduduk mengajukan soalan kepada Lokman, terutamanya mengapa Broga dipilih sebagai tapak untuk membina loji pelupusan sampah bernilai RM1.5 bilion itu.
Menurutnya, dalam jawapannya Lokman berkata, ianya secara kebetulan kerana kerajaan Selangor pada awalnya telah menyatakan hasratnya untuk membina tempat pelupusan sampah di kawasan itu.
"Kami diberitahu bahawa kawasan tersebut telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri dan kerana itulah ia dipilih, selepas penduduk di sekitar tapak cadangan asal di Kampung Bohol di Puchong menentang pembinaan insinerator di situ," kata Zulkefly.
Berikutan itu, projek tersebut telah dipindahkan ke Broga pada bulan November 2002, dan turut mencetuskan bantahan penduduk di situ.
Zulkefly berkata Lokman mengesahkan bahawa surat tawaran telah dikeluarkan kepada kontraktor berkenaan sebelum dijalankan kajian wajib terhadap impak alam sekitar (EIA), tetapi beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.
Laporan EIA itu kemudiannya diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar dengan syarat-syarat yang disertakan bersama surat tawaran yang disemak semula itu.
Pada bulan Februari 2003, kerajaan telah mendapatkan khidmat syarikat Ebara Corp yang berpejabata di Tokyo untuk merekabentuk, membina dan mengendalikan operasi loji yang mampu melupuskan 1,500 tan sampah.
Ebara diberi tempoh sehingga akhir Disember lalu untuk bersetuju dengan surat tawaran yang disemak semula itu. Sehingga ini, pihak syarikat tersebut belum lagi mengesah sama ada mereka menerima syarat-syarat baru itu.
Tapak diperlukan?
Zulkefly berkata pejabat tanah telah mengeluarkan notis pengambilan balik tanah kepada kira-kira 20 keluarga pada awal November lalu untuk membina jalan masuk ke tapak loji insinerator itu.
Katanya, seorang pegawai di pejabat tanah telah memberitahu penduduk di situ bahawa ia dilakukan atas arahan pihak kementerian.
"Tetapi Lokman menafikan pihak kementerian telah mengarahkan pejabat tanah berbuat demikian...dia juga menafikan mengetahui apa-apa mengenanya," kata Zulkefly.
Jawatankuasa kecil itu merancang untuk menemui pengarah pejabat tanah Selangor Jumaat ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.
Zulkefly berkata, hanya sebahagian daripada tanah terbabit akan digunakan untuk membina jalan masuk ke loji berkenaan.
"Yang lainya akan dijadikan kawasan larangan kepada penduduk kerana menurut notis itu, mereka tidak boleh mendiami, bercucuk tanam atau menjalankan sebarang aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan."
Menurutnya, wujud bahaya terhadap penduduk kerana kedudukan tanah mereka sebahagian besarnya kebun durian, ladang getah, ladang sayuran dan kolam ikan yang dekat, antara 400 meter hingga satu kilometer dari tapak loji itu.
"Kami mahu penjelasan yang sempurna daripada pejabat tanah," tegasnya.
Tiada kuasa
Zulkefly berkata Lokman juga gagal untuk memberi penjelasan yang memuaskan mengenai dasar kerajaan yang melarang projek pembangunan dilaksanakan di lereng bukit yang mempunyai kecerunan 25 darjah ke atas.
"Laporan EIA dengan jelas menyebut bahawa 50 peratus tapak projek insinerator itu terletak di lereng bukit. Kerajaan telah bertindak berlawanan dengan dasarnya sendiri," katanya.
"Lokman memberitahu kami, walaupun beliau merupakan pengarah projek, tetapi beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan projek tersebut, tetapi tidak pula mengatakan mengapa."
Pertengahan Disember lalu, jawatankuasa kecil Broga telah mengemukakan memorandum bantahan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak melalui pegawainya.

