Maybank tangguh yuran pembankan internet, tetapi bantahan diteruskan
Kumpulan bank terbesar di Malaysia Maybank telah menangguhkan cadangannya untuk mengenakan yuran tahunan RM12 bagi perkhidmatan pembankannya melalui internet, yang sepatutnya dikenakan mulai 20 Disember lalu.
Kumpulan bank terbesar di Malaysia Maybank telah menangguhkan cadangannya untuk mengenakan yuran tahunan RM12 bagi perkhidmatan pembankannya melalui internet, yang sepatutnya dikenakan mulai 20 Disember lalu.
Pusat perhubungannya dibanjiri beribu-ribu emel bulan lalu daripada orang ramai yang membantah cadangan itu yang mereka sifatkan tidak adil dan tidak munasabah, selepas perkhidmatan pembankan melalui internet diperkenalkan secara percuma sejak tahun 2000.
Dalam satu notis bertarikh 17 Disember di lamanwebnya, Maybank mendakwa pihaknya sedang menjalankan kajian terperinci mengenai semua maklum balas yang diterimanya mengenai perkara tersebut.
"Berikutan itu, kami menangguhkan dahulu pelaksanaan yuran langganan bagi semua pengguna Maybank2u.com sepertimana yang diumumkan sebelum ini," kata notis tersebut.
Bank itu berkata pihaknya sedang meneliti pandangan pelanggannya sejak notis mengenai pelaksanaan yuran tersebut disiarkan dalam lamanwebnya pada 12 November lalu.
"Berdasarkan kepada maklumbalas anda, kami mendapati Maybank2u.com cukup popular dan merupakan perkhidmatan yang amat berguna kerana ia menawarkan banyak faedah serta keselesaan kepada pelanggan kami," tambah notis itu lagi.
Berikutan bantahan awam itu, DAP telah menghantar memorandum bantahan kepada Gabenor Bank Negara Dr Zeti Akhtar Aziz meminta supaya diawasi dengan ketat dan dikuatkuasakan undang-undang yang berkaitan industri pembankan bagi melindungi hak-hak pengguna.
Bantahan melalui talian
Bantahan melalui talian itu berjaya mendapatkan lebih 20,000 tandatangan. Pengelolanya, Rizam Zamri, berikrar untuk meneruskan kempen mendapat tandatangan membantah cadangan Maybank itu.
Dalam komunikasi melalui emel dengan malaysiakini , Rizam berkata beliau akan membincangkan mengenai strategi baru dengan beberapa pihak yang dikenalinya melalui kempen melalui talian tersebut.
Katanya, beliau melihatkan keputusan bank tersebut sebagai satu langkah sementara untuk 'menyejukkan' bantahan para pelanggannya.
Beliau menyifatkannya sebagai satu langkah biasa sepertimana yang selalunya berlaku dalam kebanyakan isu-isu sosial di mana pihak-pihak terbabit akan membuat kenyataan 'akan meneliti' perkara tersebut apabila mendapat bantahan orang ramai atau para pelanggan mereka.
"Tetapi kemudiannya, tiada apa yang berubah kecuali tarikh pelaksanaannya," tambahnya.
Rizam berkata, kempen tersebut mesti diteruskan walaupun Maybank mengumumkan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan yuran tersebut.
Rizal juga gembira dengan sambutan hebat yang diterimanya, apabila berjaya mengumpulkan 4,000 tandatangan dalam tempoh dua hari sahaja, daripada mereka yang tidak puashati dengan cadangan tersebut.
Rizam, yang dikatakan seorang guru IT di sebuah sekolah menengah di Perlis, berkata bantahan melalui talian tersebut bermula dengan pengiriman emel untuk memberitahu rakan-rakannya mengenai perkara tersebut, tetapi usahanya ttelah mendapat sambutan orang ramai.
Pada 4 Disember lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk S Veerasingam berkata, semua bank telah diminta untuk memberi butir-butir mengenai yuran yang dikenakan untuk perkhidmatan pembankan biasa dan melalui internet.

