Seramai 37 warga Taiwan yang terbabit dalam sindiket penipuan 'Macau Scam' ditahan polis dalam serbuan di dua buah banglo mewah di sekitar Damansara Height dan Bukit Damansara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata semua suspek terdiri daripada 35 lelaki dan dua wanita berumur antara 21 hingga 41 tahun itu ditahan dalam 'Ops Pelican' pada 1 pagi Selasa lepas.

Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu juga telah diperdaya sindiket terbabit dengan menawarkan pekerjaan di Malaysia menggunakan visa pelawat namun telah dijadikan operator untuk mengendalikan aktiviti penipuan itu.

"Siasatan mendapati mereka yang ditahan itu dikurung sepanjang masa dan tidak dibenarkan keluar dari kediaman tempat operasi mereka," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut merampas 51 unit modem, 47 unit telefon, 18 unit telefon bimbit, lapan unit komputer riba, tujuh pasport Taiwan dan enam pas perjalanan Taiwan ke China, satu unit tab serta pelbagai dokumen dan buku nota.

Katanya polis telah membuat siasatan dan risikan hampir sebulan lalu setelah menerima maklumat awam berkenaan sindiket penipuan itu.

Modus operandi sindiket itu ialah memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai bank dan memaklumkan mangsa perlu menjelaskan pinjaman yang kononnya telah dibuat mangsa di sebuah bank lain.

Mangsa yang menafikan membuat pinjaman itu akan diberikan panduan untuk membuat laporan polis.

"Selepas itu, mangsa akan menerima panggilan daripada ahli sindiket yang menyamar polis bagi membantunya membuat laporan. Bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan semasa siasatan, suspek akan mengarahkan mangsa membuat pindahan wang ke satu akaun sementara.

Kemudian, wang akan dipindahkan semula ke akaun mangsa setelah siasatan selesai... namun, akaun di mana kononnya wang mangsa dipindahkan sementara waktu itu merupakan akaun yang telah disediakan oleh pihak sindiket," katanya.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan itu disiasat di bawah Akta Imigresen 1956 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- Bernama