Penguatkuasa bersepadu ke atas lori bawa bauksit
Satu penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan serta merta bagi memastikan pergerakan lori-lori yang membawa bauksit ke kawasan simpanan stok mematuhi undang-undang dan tidak membawa ketidakselesaan kepada penduduk.
Menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum bermulanya moratorium yang berkuat kuasa pada 15 Januari ini, syarikat-syarikat perlombongan bauksit dijangka menggunakan tempoh itu untuk mengeluarkan semua bauksit yang ada di kawasan perlombongan ke kawasan simpanan stok.
"Justeru itu, penguatkuasaan secara bersepadu perlu dilaksanakan serta-merta untuk memastikan pergerakan lori yang membawa bauksit mematuhi undang-undang agar ia tidak membawa ketidakselesaan kepada penduduk sekitar kawasan terbabit," kata kementerian dalam kenyataan semalam.
Penguatkuasaan bersepadu itu akan diterajui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang sebagai ketua penyelaras dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pahang sebagai pengerusi ketua bersama.
Selain itu, penguatkuasaan berkenaan turut membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pegangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Majlis Perbandaran Kuantan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Perkara itu diputuskan kementerian dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azizan Ahmad di Putrajaya semalam.
- Bernama

