Perjanjian Pakatan Harapan yang akan dimeterai esok bertujuan memastikan gabungan itu tidak melakukan kesilapan sama semasa berada dalam Pakatan Rakyat.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad memberitahu, perjanjian itu penting bagi memastikan parti-parti bergabung mencapai kata sepakat dalam perkara tertentu.

“Perjanjian ini juga untuk mengawal dan mengurus tindakan dan hubungan kita serta macam mana nak pastikan supaya jangan keluar kenyataan serang antara satu sama lain.

"Dengan adanya perjanjian ini kita harap Pakatan Harapan akan lebih berdisiplin, saling memahami dalam perkara boleh dan tak boleh dalam gabungan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Selain AMANAH, Pakatan Harapan disertai DAP dan PKR. PAS bagaimanapun bertegas mereka masih mempunyai kerjasama politik dengan PKR.