Ahmad Maslan: TPPA iktiraf industri halal
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan percaya bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak akan menjejaskan industri halal di negara ini.
Sebaliknya, kata beliau, perjanjian perdaganagn itu mengiktiraf industri halal.
Memetik perenggan dari perjanjian itu, Ahmad berkata TPPA menerima-pakai pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Dengan lain perkataan, industri halal ini diiktiraf dalam TPPA dan ada klausa tentang industri halal dan disebut perkataan Jakim juga.
“Jadi ia (TPPA) tak menjejaskan apa-apa, dalam chapter TPPA itu dinyatakan bahawa segala pensijilan Jakim diterima-pakai,” katanya pada satu sidang akhbar di Bangi, Selangor hari ini.
Justeru, katanya orang ramai tidak perlu bimbang dan menjelaskan bagaimana negara ini bakal menerima pengiktirafan halal daripada 11 negara lain dalam TPPA.
“Saya kira itu satu yang positif sebab selama ni kita tidak pernah menerima pengiktirafan daripada 11 buah negara lain itu.
“Tidak pernah dicatatkan dalam mana-mana FTA (perjanjian perdagangan bebas) tentang perkara ini.
“Ini suatu perkara yang baik untuk masa depan industri halal apabila ia dikaitkan dengan TPPA
11 negara lain itu,” kata Ahmad.
Mengikut perangkaan terkini daripada kementerian, negara mencatatkan nilai eksport sebanyak RM31.1 bilion produk halal dari Januari hingga September 2015.
Malaysia bersama-sama dengan 11 buah negara lain bersetuju dengan TPPA semasa rundingan yang terakhir di Atlanta, Amerika Syarikat.
Satu sidang khas mengenai TPPA dijangka diadakan di Dewan Rakyat pada 26 Januari ini untuk mengesahkan perjanjian itu.

