AMK: Pandangan Halimah isu Azmin-Chegubard bersifat peribadi
Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK), Dr Afif Bahardin mengesahkan bahawa Halimah Nasoha digugurkan daripada majlis pimpinan pusatnya dan kenyataannya tidak mewakili sayap parti itu.
Afif berkata Halimah secara automatik digugurkan daripada jawatankuasa itu mengikut Perkara 7.14 peraturan tetap AMK.
Peraturan itu menyebut ahli majlis pimpinan pusat AMK yang gagal menghadiri mesyuarat sebanyak enam kali tanpa sebab munasabah dianggap telah meletakkan jawatan.
"Saya tegaskan kenyataan Halimah bukan lah pendirian rasmi AMK Malaysia.
"Sebarang kenyataan beliau yang dibuat atas nama AMK adalah tidak sah dan hanya bersifat peribadi," katanya pada kenyataan media.
Ditanya jika Halimah digugurkan kerana kenyataan berani terhadap dua pemimpin PKR baru-baru ini, Afif berkata ‘Dia digugurkan kerana tidak aktif dalam sayap parti itu’.
Halimah dipetik Sinar Harian berkata pertikaian Badrul Hisham Shaharin terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mengenai pemberian kawasan balak perlu dibuktikan segera.
Halimah berkata Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard memiliki bukti bahawa pemberian itu dibuat tanpa tender terbuka tetapi ia tertakluk kepada akta rahsia rasmi.
"Azmin juga boleh bawa Chegubard ke mahkamah kerana memfitnah dan membiarkan Chegubard dedah dokumen rahsia itu ke mahkamah jika benar," beliau dipetik berkata
Terdahulu Azmin mencabar Chegubard agar mengemukakan bukti kepada SPRM berkenaan projek pembalakan di Selangor dan bukannya 'menyalak ' kepada pihak media.
Azmin berkata, pihaknya menegaskan tiada sebarang permit dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk aktiviti pembalakan tersebut.

