Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk Kuantan dinasihat elak guna sumber air sungai tercemar
Diterbitkan:  Jan 9, 2016 6:00 AM
Dikemaskini: 10:15 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan penduduk Kuantan supaya tidak menggunakan sumber air mentah dari mana-mana sungai yang tercemar bagi mengelakkan kemudaratan kepada kesihatan.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata orang ramai perlu sentiasa prihatin terhadap kesihatan mereka supaya sebarang perkara tidak diingini dapat dielakkan.

"Sekiranya tidak sihat hendaklah segera berkunjung ke klinik-klinik yang terdekat bagi rawatan awal.

"Selain itu, elakkan daripada memakan ikan atau mana-mana hasil tangkapan dari sungai yang disahkan tercemar oleh pihak Jabatan Alam Sekitar sebagai langkah pencegahan awal," katanya.

Dalam pada itu, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKN) telah dan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memantau kesan perlombongan bauksit kepada kesihatan masyarakat.

Antara langkah-langkah yang telah diambil termasuklah memantau kualiti air minum secara berkala serta memantau trend kehadiran pesakit di klinik-klinik yang terpilih.

"Sehingga Disember lepas, semua sampel air terawat yang dibekalkan dari LRA (Loji rawatan Air) Semambu, Bukit Sagu dan Bukit Goh telah diambil oleh KKM dan sampel-sampel air yang dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia menunjukkan bahawa semua sampel parameter logam berat mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan.

"Bagi pemantauan di klinik pula sebanyak 11 klinik kesihatan di kawasan Kuantan telah dipilih untuk memantau kehadiran pesakit jangkitan trakus pernafasan atas (URTI), Asma dan Konjunktivitis bermula dari 2014... pemantauan ini adalah secara berterusan dan analisis akan dibuat dalam tempoh yang tertentu bagi melihat trend penyakit," katanya.

Sementara itu, Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan JKN Pahang pula secara berterusan melakukan pensampelan pemantauan terhadap kualiti makanan di kawasan terlibat secara berkala dengan kekerapan dua bulan sekali.

KKM juga dalam pada itu, membuat analisa terhadap lima jenis ikan dan hasil laut iaitu ikan mengkerung, ikan kekek, ikan gelama dan ikan anding serta lokan bagi parameter plumbum, kadmium dan arsenik tak organik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS