Zuhdi: Ketepi prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju 'atas kertas saja'
Langkah Pakatan Harapan untuk tidak lagi menggunakan prinsip "bersetuju untuk tidak bersetuju" disifatkan sebagai mustahil dan tidak akan berlaku.
Ini kerana, tegas Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki, perkara itu hanya akan tertulis di atas kertas sahaja dan tidak akan dilaksanakan.
Apatah lagi jika setiap daripada mereka mempunyai agenda peribadi masing-masing, kata Zuhdi.
"(Prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju) sesuatu yang tidak mungkin berlaku, kalau dia buat itu adalah mustahillah untuk berlaku.
"Benda yang sama, janji yang termeterai macam Pakatan Rakyat dulu, cuma tertulis ada buat itu, tetapi hati masing-masing ada agenda sendiri dan tidak akan berkekalan," kata Zuhdi kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas majlis Taklimat Kas Presiden di Taman Melewar hari ini.
Pakatan Harapan hari ini mengadakan sidang kemuncak kepimpinannya di Shah Alam, di mana PKR, DAP dan AMANAH menandatangani perjanjian bersama untuk gabungan mereka.
Dalam sidang tersebut Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata 'bersetuju untuk tidak bersetuju' tidak lagi menjadi prinsip Pakatan Harapan.
Ketiga-tiga parti bebas untuk membuat keputusan politik mereka, selagi ia tidak bertentangan dengan perjanjian dan keputusan bersama yang dimeterai hari ini, atau yang dibuat oleh majlis presiden.
Mengulas lanjut, Zuhdi berkata mana mungkin kesemua pimpinan parti Pakatan Harapan menerima keputusan tersebut kerana setiap manusia pasti akan berbeza pandangan.
"Mustahil manusia bersetuju dalam semua perkara, kalau dia kata hendak menolak bersetuju untuk tdiak bersetuju, tidak mungkin berlaku.
"Manusia ini mesti ada perbezaan pandangan, cuma bagaimana hendak menguruskan pandangan, itu yang sepatutnya berlakulah," katanya.

