Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Jangan ganggu SPRM siasat isu bauksit
Diterbitkan:  Jan 11, 2016 6:20 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menggesa semua pihak agar tidak mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu perlombongan bauksit di negeri ini.

Beliau berkata kebijaksanaan SPRM dalam siasatan itu tidak wajar dipertikaikan dan kerajaan negeri juga tidak mencampuri urusan siasatan berkenaan, kerana mahu penyiasatan yang telus.

Adnan menambah peluang juga perlu diberikan kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah berkaitan bauksit kerana perkara ini turut melibatkan agensi penguatkuasaan di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

"Agensi di bawah kerajaan negeri adalah Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Masalah ini berlaku disebabkan kelemahan penguatkuasaan.

"Sebab itu kita setuju tindakan Kerajaan Persekutuan hendak bantu kerana pelabuhan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis dan Kastam di bawah Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media, hari ini.

Kerajaan negeri juga bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan mengenakan tempoh moratorium selama tiga bulan bermula 15 Januari ini bagi mengurangkan pencemaran selain mencari penyelesaian lebih baik yang bersifat jangka panjang.

Adnan juga meminta pihak media agar tidak menyebar laporan tidak tepat berkaitan isu bauksit.

Katanya, beliau akan mengeluarkan kenyataan lengkap merangkumi peranan menteri besar dan jabatan terlibat dalam isu berkenaan tidak lama lagi.

"Saya bukan mahu main blaming game (mempersalahkan sesiapa), tapi saya nampak apabila saya diam, semakin banyak laporan tidak adil.

"Buat masa ini saya memerhatikan laporan media, termasuk media sosial sebelum mengeluarkan jawapan kepada perkara yang dibangkitkan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS