Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR hari ini mendakwa bahawa hasil bauksit yang dilombong di Kuantan, Pahang tidak langsung dikenakan duti eskport kata naib presidennya Rafizi Ramli.

Menurutnya, semakan di laman sesawang Kastam menunjukkan kadar duti eksport bagi bauksit adalah kosong peratus.

"Apabila Datuk Adnan Yaakob menyebut Kerajaan Pahang mengutip royalti sebanyak RM47 juta dalam 2015 hasil dari perlombongan bauksit, saya menyemak kod tarif bagi bauksit di laman sesawang Kastam.

"Perkara yang mengejutkan dan membimbangkan saya adalah kadar duti eksport bagi bauksit di bawah kod 260600000 adalah kosong peratus," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan, menggesa agar kerajaan persekutuan mengenakan duti eksport sebanyak sepuluh peratus setanding dengan duti eksport ke atas eksport kelapa sawit.

"Jika kerajaan persekutuan peka dengan kesan dengan perlombongan bauksit dan kos membaikpulih alam sekitar, paling kurang ia perlu mengenakan duti eksport sebanyak sepuluh peratus.

"Ia setanding dengan duti eksport ke atas eksport kelapa sawit dan jika ia dilakukan, hasil ini boleh dibahagikan pada pecahan 50:50 dengan kerajaan negeri Pahang seperti kehendak Akta 396," katanya.

Sementara itu, Rafizi turut meminta Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan mengesahkan sama ada kerajaan persekutuan dilihat lalai kerana tidak mengenakan duti eksport atas bauksit.

"Akibat kelalaian itu, kerajaan persekutuan telah rugi sekurang-kurangnya RM180 juta dalam bentuk duti eskport bagi tahun 2015," dakwanya.

Lihat Komen
ADS