Datuk Abdul Rahman Dahlan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemeriksaan sama ada unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dihuni oleh warga tempatan atau tidak.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, berdasarkan penelitiannya banyak unit rumah PPR dihuni warga asing sedangkan ramai rakyat negara ini yang mahu mendiami rumah berkenaan.

Justeru itu, beliau meminta supaya pihak PBT meluaskan lagi penguatkuasaan bagi mentadbir urus perumahan PPR.

"Setiap unit PPR di negara ini dihuni oleh rakyat Malaysia tetapi memberi (sewa) kepada warga asing. Benda ini tak masuk akal, rakyat marah kepada kerajaan.

"Sedangkan beribu orang menunggu, kita tidak lakukan keadilan kepada mereka.

"Penghuni PPR yang bukan warganegara, dan menyewa, suruh mereka keluar. Tiada kompromi. Sebab itu saya kata penguatkuasaan itu penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis perjumpaan bulanan KPKT di Putrajaya hari ini.

Selain itu, beliau juga meminta sekiranya terdapat PBT yang tidak mampu untuk menguruskan rumah PPR agar menyerahkan kembali kepada kementeriannya.

Katanya, ia bertujuan bagi memastikan unit rumah PPR diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

"Selama ini unit PPR bila kita bina akan serah pada PBT.

"Kalau tak mampu untuk urus, boleh serahkan pada kementerian. Kita akan uruskan dan pastikan agar ia diberi sewaan pada mereka yang layak," katanya lagi.