Menteri: Siapa kata Thailand, Filipina tak minat TPPA
Berbeza pandangan pakar ekonomi, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata Thailand dan Filipina berminat menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Malah, kata menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) , minat itu dinyatakan secara terbuka.
“Saya kenal mereka. Mereka rakan-rakan saya dan buat kenyataan awam berkaitan perkara itu.
“Kami dalam persidangan di Jepun dua bulan lalu dan mereka semua datang kepada saya untuk cakap tentang TPPA.
“Terdapat rekod mereka berminat jadi sebahagian dari TPPA, ini diketahui orang awam dan tiada sebarang rahsia,” katanya.
Mustapha berkata demikian dalam sebuah sesi dialog berkaitan perjanjian itu di Menara MITI di Kuala Lumpur.
Semalam, pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaran ( gambar ) melontarkan soalan mengapa Malaysia begitu berminat menyertai TPPA.
Sedangkan, katanya, negara-negara seperti Thailand dan Filipina, yang rapat dengan Amerika Syarikat, memilih menjauhkan diri.
Bercakap dalam forum berkaitan TPPA anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia, Jomo membangkitkan persoalan sama ada terdapat begitu banyak manfaat yang tidak mampu dilihat oleh Filipina dan Thailand.

