MCA akan menjadi parti politik pertama menggunakan modul latihan antirasuah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MOU) penggunaan modul itu untuk meningkatkan kesedaran anggota MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

"SPRM sangat berbangga disebabkan ini merupakan satu titik permuafakatan dan diharap dapat membentuk amalan budaya berintegriti dalam berpolitik serta menyebarkan informasi modul berkenaan," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali.

Di pihak SPRM, MOU ditandatangani oleh Mustafar manakala MCA diwakili oleh Pengetua Sekolah Pengajian Politik Chee Mei Fun.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, menurut kenyataan SPRM hari ini.

MoU itu akan membolehkan ahli politik mengenali lebih mendalam berkenaan kaedah pencegahan rasuah yang perlu dipraktikkan.

Modul yang mempunyai 90 slaid itu antaranya memaparkan statistik terkini penglibatan ahli politik dalam rasuah, definisi rasuah, hukuman jika terbabit, undang-undang rasuah dan juga kesan buruk rasuah.

Sementara itu, Wee berkata, MCA menyasarkan untuk melatih sehingga 10,000 anggota melalui pengenalan modul pencegahan itu.

"Selain itu pendekatan pencegahan rasuah ini secara tidak langsung dapat memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)," kata beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.