Indira Gandhi: Kabinet cari penyelesaian menyeluruh
Bagi menangani isu penukaran agama yang melibatkan kes Indira Gandhi kabinet hari ini bersetuju untuk mencari penyelesaian menyeluruh, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Menurut Presiden MIC itu kerajaan akan mengambil kira semua perkara termasuk maklumat daripada Jawatankuasa Penukaran Agama pada 2009 yang gagal menyelesaikan isu berkenaan.
"Kerajaan akan mengambil langkah termasuk menggubal undang-undang namun ia tertakluk kepada pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.
"Kerajaan akan membawa perkara ini kepada Peguam Negara dan kemudian ke parlimen untuk dibahas sebelum pindaan dapat dilakukan pada persidangan Mac depan," katanya kepada pemberita di sidang media di Putrajaya hari ini.
Minggu lalu, pertikaian kes hak penjagaan anak Indira dengan bekas suaminya - kini menganuti Islam - berlanjutan apabila Mahkamah Rayuan menetapkan isu berhubung sijil pertukaran agama jatuh terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Keputusan itu memihak Jabatan Agama Islam Perak, kerajaan persekutuan, Pendaftar Mualaf, Kementerian Pelajaran dan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah, 46, yang mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang sebelum itu membatalkan sijil penukaran agama tiga anaknya.

