Hadi tak alami masalah kesihatan serius - pembantu
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disahkan tidak mengalami masalah kesihatan yang serius, menurut setiausaha politiknya hari ini.
Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Hadi dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan rawatan rutin.
“Alhamdulillah, hasil pemeriksaan rutin Abdul Hadi menunjukkan bahawa tiada masalah besar yang dialami oleh beliau.
“Beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para ahli Pas, penyokong, pimpinan dan rakyat yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian.
Samsuri berkata, doktor juga menasihati Presiden PAS yang berusia 68 tahun untuk berehat dan mengurangkan kunjungan tetamu yang melawatnya di IJN.
Selasa lau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melawat Hadi dan memuat naik gambar di Facebook beliau.
Najib juga berkata beliau berdoa agar Presiden PAS itu segera sembuh.
Perdana menteri yang juga Presiden Umno, baru-baru menghulurkan tangan perdamaian kepada PAS yang merupakan musuh tradisi parti itu.
Ini menimbulkan pelbagai reaksi dengan Majlis Syura berkata bahawa kerjasama adalah dialu-alukan bagi pengukuhan Islam tetapi PAS tidak akan menyertai parti pemerintah.

