Tanah runtuh Cameron ragut satu lagi nyawa pekerja asing
Seorang lelaki warga Bangladesh maut dalam kejadian tanah runtuh kecil di Kampung 1, Pos Terisu di Cameron Highlands hari ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Muhammad Rizal Kamaruddin berkata Kassim Munshi, 40, dari Pripur, Dhaka terbunuh selepas tertimbus dalam tanah semasa mengorek tanah untuk membina sebuah pondok kira-kira 2 pagi tadi.
"Kita terima maklumat mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 8.15 pagi dari bapa saudaranya yang bekerja di kawasan berkenaan... tiada talian telefon di tempat itu.
"Mangsa dipercayai baru dua atau tiga hari berada di kawasan itu. Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa,"katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Muhammad Rizal berkata mayat Kassim dapat dikeluarkan daripada timbunan tanah itu kira-kira 9.30 pagi dan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk bedah siasat.
- Bernama

