Susulan serangan dan pengeboman di Jakarta hari ini, Ketua Polis Negara (IGP) Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis mengambil langkah berjaga-jaga pada tahap tinggi bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku di negara ini.

"Kawalan keselamatan telah ditingkatkan di kawasan awam seperti di kompleks membeli belah dan tumpuan pelancong.

"Sementara langkah berjaga-jaga tambahan akan dilaksanakan di kawasan sempadan bagi menghalang penyusupan masuk pengganas," katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata demikian beberapa jam selepas serangan di pusat membeli belah Sarinah Mall di kota Jakarta hari ini yang mengakibatkan sekurang-kurangnya enam maut.

Selain enam letupan, saksi juga menyatakan berlaku tembak menembak antara penyerang dan anggota keselamatan dalam serangan menggemparkan itu.

Polis Indonesia kemudian dilapor berkata, tiga daripada tujuh individu yang terlibat dalam serangan itu terbunuh, manakala empat lagi ditangkap.