NGO tubuh KASIH bantu mahasiswa kelaparan
Kesal dengan kekurangan dana yang diperuntukkan kerajaan bagi membantu golongan mahasiswa yang tidak berkemampuan, satu gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengambil inisiatif dengan memberikan mereka bantuan makanan.
Gabungan Kami Sayang Mahasiswa (KASIH) mengambil pendekatan dengan merancang untuk memberi bantuan makanan secara berjadual di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sekitar Lembah Klang.
Pengerusinya Mariam Abd Rashid berkata, pihaknya juga akan membantu pelajar miskin dan kurang berkemampuan dengan cara memberikan sejumlah wang kepada seketeriat kebajikan di IPTA untuk diagihkan dalam bentuk kupon.
"Pihak kami hanyalah sebagai badan sokongan untuk membantu menyelesaikan sedikit sebanyak masalah yang dihadapi pelajar.
"Bagi kami, pihak kerajaan sepatutnya lebih bertanggungjawab untuk selesaikan masalah ini dengan memperuntukan sebahagian besar dana kewangan negara bagi biaya mahasiswa," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.
Mariam berkata gabungan 17 NGO itu juga akan memulakan program tersebut pada bulan Februari.
Pihaknya menyasarkan IPTA seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan sebuah institusi di bawah kerajaan negeri Selangor, Unisel.
Selain itu, bercakap mengenai sumber kewangan yang diperolehi gabungan itu, Mariam berkata pihaknya akan mendapat bantuan daripada kerajaan negeri Selangor.
Malah, pada hari ini Parti Amanah Negara (AMANAH) menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada gabungan tersebut bagi membantu pelajar.
Bagi pihak yang ingin memberikan sumbangan kewangan untuk membantu mahasiswa boleh disalurkan ke akaun Bank Islam atas nama Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah, no akaun: 14032010094329.

