PAS keputusan sama ada negara menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) atau tidak ditentukan dalam undian pungutan suara atau referendum oleh rakyat dan bukannya keputusan yang di Parlimen.

“Oleh kerana isu TPPA merupakan isu yang akan meninggalkan kesan besar kepada masa depan dan generasi depan negara, kerajaan tidak boleh membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian TPPA berdasarkan keputusan 134 ahli parlimen BN yang sudah terbukti bakal bertindak seperti lembu dicucuk hidung.

“PAS mencadangkan satu referendum rakyat perlu dibuat bagi kerajaan mendapatkan mandat samada menandatangani perjanjian atau sebaliknya.

“Dengan referendum ini, rakyat akan lebih jelas implikasi baik buruk keterlibatan negara dalam TPPA ini melalui siri penerangan dan penjelasan semua pihak,” kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Sidang khas Parlimen akan berlangsung dari 26 hingga 28 Januari untuk membuat keputusan mengenai TPPA tetapi perjanjian itu dijangka diluluskan dengan sokongan majoriti ahli parlimen BN.

“Walaupun perbahasan di parlimen merupakan langkah positif bagi memberi peluang kepada ahli-ahli parlimen membahas dan menyuarakan padanan mereka terhadap TPPA akhir bulan ini, namun PAS merasakan ia mungkin sekadar lakonan hiasan untuk menunjukkan bahawa kerajaan masih sedia mendengar - walhal para ahli parlimen BN telah diberi arahan untuk mengundi menyertai TPPA dari pihak atasan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata antara yang paling dibimbangi di dalam TPPA ialah kos perubatan yang dijangka melambung yang bakal merompak hak rakyat marhaen untuk menikmati perubatan boleh tampung.

Katanya, himpunan rakyat membantah TPPA pada 23hb Januari nanti adalah sebahagian daripada usaha dan kebimbangan rakyat terhadap sikap pihak kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk menyertai perjanjian itu.

“Himpunan ini bakal merupakan satu desakan kepada kerajaan agar mengambil kira pandangan dan bantahan rakyat terhadap perjanjian TPPA,” katanya.

PAS dijangka turut menyertai dalam protes yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur itu.