Khutbah: Jangan mudah percaya Facebook, WhatsApp
Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mengingatkan orang ramai agar menjauhi fitnah dan tidak mudah percaya dengan berita serta maklumat yang disebarkan melalui internet.
Malah mimbar turut mengingatkan supaya masyarakat tidak menyebarkan berita sama ada di media sosial atau media massa yang belum dipastikan kesahihannya itu.
Oleh itu, mimbar menasihatkan umat Islam agar mengamalkan konsep "tabayyun" yang bermaksud memeriksa dengan teliti dengan keilmuan yang dalam terhadap sesebuah peristiwa dan khabar yang datang sehingga menjadi jelas dan terang.
"Perantaraan teknologi seperti WhatsApp, Telegram, Twitter, Facebook, emel, surat khabar, majalah atau sebagainya menjadikan proses limpahan maklumat mudah diperoleh sehingga tidak mampu ditapis dan tidak sempat dipastikan kebenarannya.
"Ditambah sikap teruja dan tak mahu ketinggalan dengan 'berita sensasi' yang diperoleh, lalu tersebar perkhabaran ke segenap tempat bagaikan fakta tanpa sebarang syak wasangka," menurut teks khutbah hari ini.
Mimbar turut memberikan contoh peristiwa yang melibatkan sahabat nabi iaitu Saidina Umar yang dibunuh kerana difitnah.
Justeru itu katanya, konsep "tabayyun" penting dan mengajar supaya tidak mendakwa atau memperkatakan sesuatu kecuali yang benar sahaja.
"Mengadakan berita atau berbohong adalah salah satu daripada tanda-tanda munafik dan berdosa.
"Begitu perlunya sikap sering bertanya dan merujuk segala perkara yang tidak diketahui kepada ahlinya.
"Sikap ini mengelakkan kekeliruan, salah faham, penyelewengan dan kesesatan," menurut teks khutbah itu lagi.

