Kabinet telah mengulangi pada dasarnya bahawa pertikaian dalam hak penjagaan anak antara agama perlu dirujuk kepada mahkamah sivil jika pasangan itu berkahwin di bawah undang-undang sivil.

Ini didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam yang berkata mesyuarat kabinet pada hari Rabu, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah mengulangi keputusan tersebut.

Perdana menteri, katanya, telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau mahu mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.

Subramaniam berkata demikian ketika menghadiri sambutan perayaan Ponggal di Batu Caves malam tadi.

Struktur keluarga dalam perkahwinan sivil antara dua orang bukan Islam dan anak-anak mereka, tidak boleh terganggu oleh isu pertukaran agama, jelas beliau.

Katanya, apabila seseorang itu bertukar agama, maka sebarang isu yang berkaitan, perlu diselesaikan dalam ruang lingkup mahkamah sivil.

"Inilah prinsip kita (kabinet)," tambahnya.

Kabinet telah membuat keputusan itu pada tahun 2009 bahawa seseorang kanak-kanak mesti dibesarkan dalam agama yang dianuti oleh kedua-dua ibu bapanya pada masa perkahwinan itu.

Keputusan tersebut dibuat ketika itu, ekoran berita mengenai M Indira Gandi di mana bekas suaminya yang memeluk Islam, K Patmanathan atau Muhammad Ridzuan Abdullah, telah menukar agama tiga anak mereka untuk memeluk Islam, tanpa izinnya.

Bagaimanapun, bekas menteri undang-undang Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mendedahkan pada tahun 2013 bahawa Majlis Raja-Raja membantah pelaksanaan keputusan 2009 itu.

Apabila ditanya apa yang akan berlaku jika Majlis Raja-Raja sekali lagi tidak bersetuju dengan kabinet, Subramaniam berkata, kerajaan sedang meneroka cara-cara lain, tetapi enggan mengulas lanjut.

"Ya, kita meneroka pelbagai pilihan dan kita sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara. Saya tidak boleh memberitahu anda butirannya."

Subramaniam menegaskan bahawa isu penjagaan anak antara agama adalah isu undang-undang dan bukan isu agama.

"Ini bukan isu agama. Ini adalah isu undang-undang, di mana undang-undang telah ditafsirkan oleh orang yang berbeza dan oleh hakim yang berbeza." tambahnya.

Oleh kerana mereka yang mentafsirkan undang-undang dan perlembagaan persekutuan mempunyai pendapat yang berbeza, maka katanya, tanggungjawab penggubal undang-undang adalah untuk menerangkan mengenai undang-undang itu dengan sejelas-jelasnya.

Jawatankuasa baru kabinet

Dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Rayuan pada bulan lepas membuat keputusan yang memihak kepada bekas suaminya itu.

Dalam keputusan majoriti pada 30 Disember 2015, ia memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Ipoh tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes pertukaran agama anak-anak Indira oleh bekas suaminya - ketika mereka berusia 12 tahun, 11 tahun, dan 11 bulan.

Mahkamah Rayuan juga berkata kesahihan sijil pertukaran agama adalah adalah dalam bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah, dan di luar bidang kuasa mahkamah sivil.

Presiden MIC itu turut menganggota jawatankuasa yang baru ditubuhkan oleh kabinet untuk menangani isu pertukaran agama secara unilateral, seperti dalam kes Indira.

Anggota lain jawatankuasa itu ialah Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam sidang akhbar malam tadi, Subramaniam berkata, dua menteri lagi - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup - turut dilantik menganggotai jawatankuasa tersebut.

Dilaporkan bahawa kerajaan akan membincangkan isu tersebut dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan membentanghkan enakmen di Parlimen pada bulan Mac.

[Baca berita penuh]