Tentera Burkina tawan semula hotel dari militan Islam
Pasukan keselamatan menembak mati tiga militan Islam bersenjata yang menyerang sebuah hotel di ibunegara Burkina Faso, dan membebaskan 126 orang yang menjadi tebusan pejuang al-Qaeda yang menyerang hotel itu pada hari Jumaat, kata menteri keselamatan negara Afrika Barat itu.
Sekurang-kurangnya 20 orang dipercayai terbunuh dalam serangan ke atas Hotel Splendid di Ouagadougou lewat semalam. Al-Qaeda Islamic Maghreb (AQIM) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Simon Compaore berkata operasi masih diteruskan di sebuah lagi hotel berhampiran, Hotel Yibi, dan pasukan keselamatan masih berusaha untuk menentukan sama ada ada pejuang bersembunyi di sana.
"Operasi di Hotel Splendid dan Restoran Cappuccino (dekat situ) telah berakhir. 126 tebusan dibebaskan, antara mereka 33 cedera," kata menteri itu kepada Reuters. "Tiga pejuang jihad terbunuh. Mereka adalah seorang berbangsa Arab dan dua orang Afrika berkulit hitam. "
Seorang saksi Reuters berkata, pertempuran berakhir selepas berlaku tembakan dan letupan yang kelihatan tertumpu di Restoran Cappuccino awal hari ini.
Kerajaan baru Burkina Faso, yang dilantik pada hari Rabu berikutan pemilihan Presiden Roch Marc Kabore pada bulan November, dijangka mengadakan mesyuarat tergempar kabinet pada pukul 9 pagi (0900 GMT).
Splendid Hotel popular di kalangan pengunjung Barat dan tentera Perancis yang berpangkalan di Burkina Faso.
Seorang doktor yang merawat beberapa orang yang cedera dalam serangan itu berkata, mereka memberitahunya bahawa penyerang kelihatan mensasarkan orang Barat. Bagaimanapun, kewarganegaraan mereka yang terbunuh dalam serangan itu belum lagi diketahui.
- Reuters

