Polis mengambil keterangan editor Sunday Star Esther Ng semalam sebagai sebahagian daripada siasatan kes hasutan terhadap bekas menteri Datuk Seri Zaid Ibrahim.

Menurut Star Online, Ng memberi keterangan itu selama kira-kira 45 minit di ibupejabat daerah Dang Wangi dari jam 11 pagi.

Beliau diiringi oleh peguam Amer Hamzah Arshad.

Zaid sedang disiasat kerana artikelnya bertajuk ‘My heart goes to you, Indira’ yang disiarkan di blognya pada 31 Disember dan juga disiarkan di The Star.

Dalam artikel itu, Zaid mengkritik keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes M Indira Gandhi, yang cuba untuk mengubah pertukaran agama secara unilateral anak-anaknya oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

Zaid telah disoal siasat oleh polis berhubung artikel itu Selasa lalu.

Bekas suami Indera yang telah memeluk Islam, Muhammad Riduan Abdullah @ K Patmanathan telah menukar agama tiga anaknya kepada Islam pada tahun 2009 tanpa pengetahuan Indra.

Indira mendapat hak penjagaan dua anaknya, yang berusia masing-masing berumur 11 dan 12 tahun pada masa itu, tetapi mendakwa Riduan telah mengambil bayi berusia 11 bulan daripadanya.

Riduan kemudiannya mendapat hak penjagaan anak bongsu mereka dari mahkamah syariah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh ketiga-tiga anak mereka kepada Indira pada Mac 2011.

Mahkamah yang sama pada bulan Julai 2013, juga memutuskan bahawa sijil pertukaran agama kanak-kanak tersebut adalah batal dan tidak sah.

Keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan, yang mengambil pendirian bahawa isu pertukaran kepada agama Islam hanya boleh ditentukan oleh mahkamah syariah.

[Baca berita penuh]