Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata Kerajaan Persekutuan perlu menerapkan nilai pendidikan bagi mengekang keganasan agama dan bukannya dengan memperkenalkan 'akta-akta mengarut'.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, 'akta-akta mengarut' yang diperkenalkan kerajaan tidak boleh mengatasi masalah keganasan pelampau agama seperti Islamic State (IS).

"Kekang keganasan dengan pendidikan dan demokrasi dan sebagainya.

"Tidak perlu akta-akta baru. Akta lama pun mengarut," katanya kepada pemberita di Retreat Kepimpinan DAP di Subang Jaya hari ini.

Katanya, AMANAH secara jelas menolak apa-apa juga bentuk keganasan yang berlaku di mana-mana negara.

"Apa yang melibatkan orang awam kita tidak setuju. Jakarta, Paris kita tidak setuju.

"Kita tidak setuju konsep IS. Negara Islam kita terima, tetapi konsep dia (IS) kita tidak terima. Kami memilih demokrasi dan pilihan raya," katanya.

Khamis lalu kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab dalam kejadian pengeboman di Jakarta yang mengakibatkan tujuh maut dan 20 cedera.

Bagi mengekangnya di Malaysia, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan beberapa akta baru seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA), dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).