Berikutan harga minyak mentah yang terus merudum Petronas dijangka mengurangkan perbelanjaan modal (capex) dan perbelanjaan operasi (opex) syarikat berkenaan sehingga RM50 bilion.

"Ini bermakna kami terpaksa menangguhkan beberapa projek-projek.

"Kami juga membuat keputusan strategik untuk memulakan kajian semula model operasi perniagaan Petronas bagi meningkatkan kecekapan bertindak balas terhadap persekitaran luar.

"Semakan ini akan membabitkan penstrukturan semula organisasi sedia ada, butir-butirnya saya harap dapat dikongsi bersama pada bulan Mac," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, dalam satu surat dalaman kepada kakitangannya yang turut diterima oleh Malaysiakini .

Beliau berkata kenyataan itu dibuat supaya beliau bersikap telus bagi menyatukan pasukan bagi menempuh tempoh paling mencabar.

"Atas kebimbangan yang disuarakan ramai pekerja terhadap jaminan pekerjaan, maka sejujurnya sahabat, dan rakan sekerja, kita tidak boleh lari daripada realiti yang situasinya semakin meningkat.

"Brent kini didagangkan pada AS$28 setong pada Jumaat dan terus menurun. Tiada tanda-tanda ia akan pulih. Petronas sudah bertindak balas pantas ketika mengesan petanda awalnya dengan mengurangkan capex dan opex, memulakan Project Cactus,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata, di sebalik tindakan itu, Petronas berada pada tahap semua langkah awal yang dilaksanakan itu tidak cukup untuk menyerap impak kejatuhan ketara dan berterusan harga minyak dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Petronas tidak dapat melihat bagaimana struktur baru itu akan memberi kesan kepada tenaga kerja pada peringkat ini.

“Petronas akan mengkaji semua kebarangkalian mencapai keseimbangan antara kebajikan pekerja dan manfaat perniagaan.

“Pada masa sama, Petronas turut mengkaji kedudukan kontrak yang akan memberi kesan kepada kontrak tidak kritikal kepada aktiviti perniagaan terasnya,” katanya.

Menurut Wan Zulkiflee, setakat ini, kajian bagi kedudukan oleh kontraktor pembekalan tenaga kerja sedang dilaksanakan sebagai langkah awal mengurangkan kos tenaga kerja.

"Saya tidak berupaya memberi jaminan semuanya akan menjadi baik, namun saya memberikan komitmen saya dan pasukan kepimpinan akan terus berkongsi maklumat segala pembangunan ini secara berterusan," katanya.