Sokong TPPA: NGO Melayu sedang berbalah
Kumpulan pendesak hak Melayu, PERKASA hari ini mencabar Majlis Perundingan Melayu yang pro Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) supaya membuktikan ia adalah satu gabungan pertubuhan yang berdaftar secara sah dan sememangnya mewakili suara Melayu.
PERKASA mendakwa pernah menganggotai MPM tetapi berpisah dengan gabungan itu pada tahun 2011.
MPM dalam kenyataan hari ini berkata ia mewakili lebih 200 NGO dan menyokong usaha kerajaan untuk menandatangani TPPA.
“Saya harap pihak MPM dapat senaraikan semula nama-nama NGO yang dikatakan bersama dalam MPM secara terperinci agar kita kenal NGO-NGO mana yang bersetuju dengan kenyataan MPM menyokong kerajaan menyertai TPPA.
“Kalau ada NGO yang disenaraikan oleh MPM dan tidak pernah bersetuju kerajaan menyertai TPPA, bolehlah perbetulkan atau nafikan menyokong kerajaan menyertai TPPA,” kata Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataan.
PERKASA akan menjadi tuan rumah perbincangan meja bulat pada Sabtu ini yang akan melibatkan pakar ekonomi dan mereka yang berkepentingan.
“Sehingga kini PERKASA lebih merasa cemas setelah mendengar hujah-hujah pihak menentang TPPA walaupun ada menerima penjelasan yang positif dari pihak kerajaan, kerana ia didapati lebih menggugat kepentingan Islam, bumiputera dan negara daripada menguntungkan,” katanya.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Dewan Perniagaan Melayu adalah dua pertubuhan yang menentang TPPA.
Antara lain, terdapat kebimbangan bahawa TPPA akan menghakis keupayaan kerajaan untuk memasukkan syarat mesra bumiputera mesra dalam pembidaan kontrak kerajaan.
TPPA akan dibentang dan dibahaskan pada sesi khas parlimen minggu depan dan akan dimeterai pada Februari jika mendapat persetujuan Parlimen.

