Anwar boleh dirawat di Jerman: Suhakam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menyokong rawatan pilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini mengalami sakit tulang belakang akibat cakera teranjak, termasuk pembedahan endoskopik di luar negara.
Anwar, ketika ditemui wakil-wakil Suhakam, sebelum ini pernah menegaskan untuk mendapatkan rawatan daripada Dr Thomas Hoogland di kliniknya di Jerman kerana risikonya lebih rendah berbanding kaedah yang disarankan kerajaan.
Bagaimanapun, dalam pertemuan itu, Anwar juga menjelaskan beliau sedar risiko pelbagai kaedah rawatan dan tempoh penerbangan yang panjang ke negara itu.
Menurut kenyataan Suhakam yang dikeluarkan sebentar tadi, badan itu mengambil keputusan itu selepas menerima pelbagai pandangan, termasuk daripada doktor Anwar dan pakar-pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur, selain memorandum yang dihantar oleh isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Suhakam mendapati tidak terdapat peruntukan undang-undang yang menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim dihantar ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan.
"Lagipun, telah menjadi amalan biasa bagi pesakit mendapatkan rawatan pilihannya sendiri walau berbeza dengan pandangan doktor-doktor yang merawatnya," kata Setiausaha Suhakam Kamaruddin Mohamed Baria.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara selama 15 tahun di Sungai Buloh selepas didapati bersalah dalam kes rasuah dan liwat.
Menurut hujah Suhakam, seksyen 43 Akta Penjara membenarkan seseorang banduan dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan dengan jaminan dan kerajaan boleh mengenakan syarat-syarat tertentu dalam jaminan itu. Sementara seksyen 42 akta itu mengizinkan seseorang banduan dibawa ke luar negara jika tiada rawatan di sini.
Anwar, kata suruhanjaya itu lagi, juga memaklumkan bahawa beliau bersedia mematuhi syarat-syarat yang dikeluarkan, termasuklah larangan terlibat dengan sebarang kegiatan berunsur politik.
Dalam pertemuan dengan tiga wakil pembangkang minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk tidak membenarkan permohonan Anwar ke luar negara.
Pertemuan yang diketuai Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor disertai wakil rakyat DAP bahagian Kepong Dr Tan Seng Giaw dan wakil rakyat Keadilan bahagian Kemaman Abdul Rahman Yusof.
Menurut Fadzil, Perdana Menteri berkata pembedahan tulang belakang boleh dilakukan "di mana-mana, (pakar) boleh membawa peralatan perubatan dengan syarat ia dilakukan di dalam negeri."

