Polis Selangor kesal dengan tindakan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membuat laporan polis secara terbuka mengenai kewujudan 20 pusat judi haram di Ampang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, tindakan itu menyebabkan pemilik pusat judi haram tersebut melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

Katanya, sekiranya JMM ikhlas untuk membantu pihak polis mengatasi kegiatan perjudian haram, mereka sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan pihak berkuasa itu.

“Kalau benar ikhlas terangkan macam mana nak bantu, kita berbincang cara macam macam mana nak bantu dengan berkesan.

“Saya agak terkilan, kerana mereka buat laporan secara terbuka. Kita hargai maklumat yang disalurkan, (namun) penyaluran maklumat begitu tidak sesuai,” katanya ketika perjumpaan bulanan Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Semalam, JMM menyerahkan bukti kewujudan kira-kira 20 pusat judi haram yang beroperasi di Selangor yang didakwa milik seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’.

Pengerusi JMM turut mengarahkan ahli-ahlinya untuk ke premis-premis yang didakwa memiliki mesin judi slot bagi mengumpul bahan bukti sejak November tahun lalu.

Mengulas lanjut Abdul Samah berkata, tindakan yang dilakukan JMM hanya akan mengancam keselamatan mereka sendiri.

Selain itu, katanya ketika serbuan dilakukan, pihak yang terlibat dengan perjudian haram telah mengetahui secara awal menyebabkan mereka menutup premis-premis mereka.

“Ia hanya mengundang bahayakan kepada mereka sendiri. Semalam ketika operasi dilakukan, kebanyakan premis itu tutup. Kita akan ambil tindakan sekiranya mereka beroperasi semula,” katanya.