PERKASA hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memansuhkan semua jawatan penasihat dan duta khas yang bertaraf menteri dalam pengubahsuaian semula Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 28 Januari ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, selain daripada penasihat dan duta khas, bekas kakitangan tinggi kerajaan yang dilantik ke jawatan penting sehingga memegang dua hingga tiga jawatan, perlu juga dimansuhkan.

"Apa perlunya mereka dilantik bertaraf menteri untuk tujuan tertentu kononnya untuk tarik pelabur. (Perkara ini) tidak perlu kerana dah ada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

"MITI pun dah ada dua timbalan menteri. PERKASA lihat tidak perlu (penasihat dan duta khas) kerana sudah ada 36 menteri, jadi apa perlu (mereka) untuk negara-negara tertentu.

"Ada MITI di luar negara, Matrade, ada kedutaan… dekat kedutaan ada pegawai urusan perniagaan. Mereka menerima gaji bertaraf menteri.

“Ada pejabat yang saya kira ianya membazir wang rakyat," katanya dalam sidang medianya di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Kata Ibrahim, pemasuhan itu penting sebagai langkah penjimatan ketika kejatuhan harga pasaran minyak mentah dunia.

Kata Ibrahim, tindakan itu penting sebagai langkah penjimatan ketika kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Menurutnya, perbelanjaan untuk membiayai gaji penasihat dan duta khas bertaraf menteri juga bukannya sedikit dan ia memerlukan jumlah yang besar.

Malah katanya, sekiranya jawatan-jawatan tersebut dimansuhkan, rakyat tidak terlalu dukacita apabila disaran mengikat perut kerana pemimpin negara memberikan contoh yang baik.

"Saya cabar kalau kerajaan prihatin, tunjuk contoh dan teladan. Kalau tindakan ini dibuat, rakyat akan lega kerana rakyat suruh diikat perut," katanya.

Jelas PERKASA lagi, sekiranya kerajaan memerlukan perkhidmatan penasihat dan duta khas bertaraf menteri, ia boleh dibuat secara satu persatu tanpa perlu ditawarkan jawatan.