Penduduk Ladang Batu Kawan di Pulau Pinang mula kehilangan kepercayaan kepada wakil rakyat mereka setelah lebih sebulan mereka hidup dalam kegelapan apabila bekalan elektrik ke kawasan kediaman mereka dipotong.

"Walaupun wakil kerajaan dan wakil rakyat telah menemui kami, tetapi saya tidak percaya mereka akan melakukan apa-apa untuk menolong kami, dalam masa terdekat ini," kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Ladang Batu Kawan, Siva Perumal ketika dihubungi hari ini.

Sesetengah penduduk terbabit telah mengadakan mogok lapar sebagai membantah tindakan pemilik ladang itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang didakwa memotong bekalan elektrik ke kawasan itu pada 6 Disember lalu.

Manakala bekas pekerja ladang itu juga telah menerima notis yang mengarahkan mereka supaya berpindah dari situ.

Bagaimanapun, PDC, yang pengerusikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, mendakwa masalah itu berpunca daripada kerosakan generator yang membekalkan elektrik ke kawasan tersebut.

Generator lama

Menurut Siva, 84 keluarga yang tinggal di ladang tersebut menerima bekalan elektrik dari dua punca bekalan.

Kira-kira 70 rumah bergantung bekalan elektrik dari sebuah generator lama yang sudah berusia 40 tahun, manakala yang lainnya menerima bekalan elektrik daripada pencawang Tenaga Nasional (TNB).

"Bekalan elektrik dari generator lama itu memang sering terganggu tetapi kerosakannya kali ini tidak dapat dibaiki lagi.

"Sebelum itu, bekalan elektrik dari TNB (kepada 14 rumah) juga dipotong," kata Siva.

Menurutnya, pencawang TNB sudah lama dibina berhampiran rumah-rumah di situ tetapi mereka semua masih mendapat bekalan elektrik.

Bagaimanapun, kata Siva rumah-rumah terbabit terputus bekalan tidak lama selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi Batu Kawan Huan Cheng Guan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tambun, Lai Chew Hock pernah melawat penduduk di situ sebelum ini.

Borang permohonan TNB

Ketika dihubungi hari ini, Lai berkata, beliau sedang bekerjasama dengan penduduk terbabit untuk membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.

"Mereka telah menemui saya semula untuk mendapatkan bantuan. Terdapat kumpulan dan ahli-ahli politik yang telah mengelirukan mereka dengan pelbagai cadangan dan idea untuk menyelesaikan masalah itu.

"Untuk menyelesaikannya, saya perlukan semua penduduk mencapai kata sepakat mengenai isu tersebut. Mereka juga tidak menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah ini," tambahnya.

Lai, bagaimanapun, mengakui penduduk di situ bergantung bekalan elektrik daripada sebuah generator lama, tetapi mengenai penduduk yang mendapat bekalan daripada TNB, beliau berkata mereka tidak mengisi borang permohonan dengan betul.

"Saya tidak dapat menyatakan berapa lama bekalan elektrik itu akan dapat dipulihkan, tetapi saya akan membantu mereka, apabila mereka mahu menolong diri mereka sendiri, dengan mengemukakan permohonan yang betul kepada TNB. Saya juga akan merayu kepada pihak syarikat supaya mempercepatkan proses tersebut," katanya.

Mengenai notis mengarahkan penduduk keluar dari situ, Lai berkata, terdapat penjelasan lanjut diperlukan mengenai fakta dan data berhubung soal pekerjaan dan tempoh mereka mendiami tempat itu, bagi menentukan kelayakan mereka mendapatkan pampasan dan perpindahan ke kawasan baru.

Penduduk terbabit pada mulanya bekerja dengan Taiko Plantations Sdn Bhd sehinggalah PDC mengambil alih kawasan itu pada tahun 1992. Sejak itu, ramai yang kehilangan pekerjaan kerana syarikat baru itu telah mengambil pekerja asing bekerja.

Bekas pekerja itu juga menuduh PDC tidak menunaikan janji-janjinya untuk memberi pampasan dan menyediakan tempat kediaman alternatif untuk mereka.

Sementara itu, Siva berkata, seorang lagi penduduk turut menyertai mogok lapar bersama empat lagi wanita yang berbuat demikian mulai Jumaat lalu.

Penduduk ladang kelapa sawit itu, terutama ahli jawatankuasa pekerja di situ, bergilir-gilir mengadakan mogok lapar sejak 27 Disember lalu.