Grafiti ‘Tangkap Najib’ cemari Istana Kehakiman
Tembok berhampiran pintu masuk utama ke Istana Kehakiman di Putrajaya dicemari dengan contengan grafiti ‘Tangkap Najib’ dan "Tiada Keadilan".
Grafiti itu dikesan pagi semalam, lapor akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.
Insiden yang dipercayai berlaku pada awal pagi itu sedang disiasat oleh polis mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan dengan itu menyebabkan kerosakan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Rosli Hassan berkata seorang anggota polis bantuan yang meronda mendapati contengan itu pada jam 3 pagi semalam.
Selain contengan kata-kata itu, terdapat juga huruf ‘A” yang melambangkan simbol anarkis.
Menurut Rosli, setakat ini, polis masih belum mengenal pasti mana-mana suspek, tetapi menolak bahawa ia dilakukan oleh kumpulan pengganas IS.
Jika didapati bersalah mereka yang bertanggungjawab boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Akhbar itu juga melaporkan bahawa kakitangan mahkamah menggunakan bendera kebangsaan untuk menutup grafiti itu sebagai langkah sementara.
Berikutan kejadian itu, rondaan keselamatan di sekitar Istana Kehakiman juga ditingkatkan dengan sekurang-kurangnya dua anggota polis melakukan rondaan pada setiap masa.

